Terus bekerjasama, berusaha mempertingkatkan keselamatan jalan raya





Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid






BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 November. - Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Sedunia adalah satu hari yang penting bagi mengenang mereka yang telah kehilangan nyawa atau terjejas akibat kemalangan lalu lintas.


Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri seterusnya bersabda, ia juga memberi kesempatan bagi kita semua merenung kembali tentang tanggungjawab kolektif untuk menjadikan jalan raya di negara ini lebih selamat.


Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna bersabda demikian pada Majlis Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia Tahun 2025 bertempat di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.


Dalam sabda, Yang Teramat Mulia merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua agensi kerajaan terutamanya Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), pihak swasta dan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs), yang telah giat melaksanakan pelbagai usaha berterusan secara turun padang dengan menangani isu-isu yang dihadapi, dan mengendalikan program-program kesedaran orang ramai.


YTM berharap semua yang terlibat akan terus bekerjasama dan berusaha dengan gigih ke arah mempertingkatkan lagi keselamatan jalan raya di negara ini.


"Alhamdulillah, atas komitmen semua, saya difahamkan Negara Brunei Darussalam (NBD) berjaya mengurangkan jumlah kematian lalu lintas sebanyak 50 peratus di sepanjang dekad yang lalu, iaitu di antara 2010 dan 2020.


"Akan tetapi, sejak tahun kebelakangan ini, saya difahamkan terdapat trend peningkatan jumlah kemalangan dan juga kematian yang sangat membimbangkan dan semestinya, menjadi pendorong untuk bertindak lebih gigih dan proaktif dalam menangani keadaan tersebut.


"Dalam hal ini, saya ingin memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan kepentingan menggunakan hasil audit dan data bersepadu sebagai asas kukuh dalam merancang tindakan pembaikan jalan raya dan pengubalan dasar, termasuk menetapkan sasaran penarafan keselamatan minimum tiga bintang bagi jalan-jalan utama di seluruh negara," sabda YTM.


Sabda YTM lagi, baginda turut menekankan perlunya penguatkuasaan undang-undang jalan raya dipertingkatkan melalui pendekatan yang strategik dan berkesan serta penyediaan Plan Strategik Keselamatan Jalan Raya 2026 hingga 2030 hendaklah melibatkan pelbagai pihak berkepentingan secara inklusif.


Petikan titah berkenaan sabda YTM, menjadi panduan jelas bahawa usaha ke arah keselamatan jalan raya mesti bersifat menyeluruh, berterusan dan berasaskan data.​

YTM seterusnya bersabda, MKKJR adalah satu wadah penting untuk menyelaraskan tindakan bersepadu, bersistematik dan berimpak tinggi untuk mencapai sasaran-sasaran yang telah ditetapkan.


Dalam hubungan ini, YTM amat sukacita dan menghargai usaha MKKJR dalam menghasilkan dan melancarkan sebuah buku 'Road Safety Action 2030' pada hari ini.


Sabda YTM, pelancaran buku berkenaan juga merupakan salah satu usaha bagi menyahut inisiatif 'The Second Decade of Action for Road Safety 2021 to 2030' yang telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dengan sasaran untuk mencegah sekurang-kurangnya 50 peratus kematian dan kecederaan akibat kemalangan lalu lintas menjelang 2030. Sasaran berkenaan telah juga diguna pakai oleh Negara-negara Ahli ASEAN.


YTM mendoakan semoga segala niat murni dan berkebajikan untuk menjadikan jalan raya di NBD lebih selamat dan mendapat keberkahan, sentiasa dilindungi Allah Subhanahu Wata'ala daripada sebarang musibah serta dikurniakan taufik dan hidayah untuk mencapai matlamat sifar kematian jalan raya.


Close